Tausugfm

Masi dalam pembikinan

Khazanah Pemangkin Ekonomi Sulu

Rabu, 29 September 2010

Oleh : Mohd Hassan Asan @ aku_tausug

Berbicara soal ekonomi, kita lupakan seketika cerita lain, terutama ketidakamanan yang masih belum tertunai. Mendedahkan potensi ekonomi negara Sulu tersangat la besar konteks perbincangannya. Hanya kali ini, ruang lingkup wacana ditumpukan kepada khazanah yang terdapat di negara Sulu itu sendiri secara asasnya. Pandangan awal jelas kelihatan, Sulu sememangnya mampu memulakan penggiatan ekonominya dalam ketiga-tiga sektor secara serentak dan seiring dalam masa yang sama.

Sulu pasti segera berkembang maju melihat kepada kedudukan geografinya sendiri yakni terdiri dari gugusan kepulauan yang subur dek mendapan lahar gunung berapi jutaan tahun dahulu. Keadaan ini membentuk muka bumi yang bergunung-ganang pada pandangan sebelah atas daratan yang terbentang subur dan menghijau. Penumpuan kepada pembangunan sektor pertama yakni pertanian, hasil laut, penternakan, pengurusan hutan dan sumber tadahan air serta bahan galian mampu menyumbang pendapatan utama negara yang tidak terhitung jumlahnya. Antaranya, pengindustrian hasil Kenaf, penilai tambahan hasil kopi dan kelapa, rumpai laut, penternakan ikan dalam sangkar atau kolam, pembalakan terancang dan terpilih, perlombongan emas serta cari gali petroleum dan gas asli malah banyak lagi sumber buminya yang menanti dimajukan.

Laut Sulu yang membiru, pasir yang memutih ditambah dengan keadaan pesisir pantainya yang landai serta cetek menunjang ke lautan dalam membuat batu karang dan rumpai laut tumbuh subur, menjadi habitat ratusan spesis ikan dan muloska mempopulasi di dasarnya. Menghasilkan lubuk terbaik bagi hidupan marin yang berhijrah untuk singgah memburu makanan serta membiak. Semua ini mampu menjadi bekalan protein segar berterusan yang menjana ekonomi isi rumah nelayan pantai atau laut dalam seterusnya menyumbang besar kepada pertumbuhan pendapatan perkapita negara. Di sini la sektor kedua di bangunkan yakni Pembuatan dan Perkilangan. Hasil-hasil laut boleh di nilai tambahkan menjadi barangan separa siap atau siap untuk kegunaan domestik mahupun pasaran eksport. Antaranya, pengwujudan kilang pemprosesan hasil ikan, sotong, rumpai laut atau seumpamanya.

Seterusnya, sektor ketiga yakni perkhidmatan. Pelbagai bentuk eko-pelancongan yang terkawal dan terancang sangat la berpotensi. Menyelam ke dasar lautnya pasti terpukau melihat syurga terumbu karang dan spesis ikan menyambut kehadiran para penyelam keindahan. Para Pencinta kedamaian pula, pastinya tidak mahu ketinggalan menyaksikan sendiri betapa indahnya sang mentari terbit di ufuk timur seawal pagi. Lantaran Sulu merupakan antara negara terawal matahari terbit setelah melalui putaran mengelilingi bumi yang seolah-olah muncul dari dasar laut Lautan Pasifik. Semuanya melahirkan panorama indah yang tidak boleh dinafikan mengamit pelancong tempatan mahupun luar negara untuk membuat kunjungan semula. Kepada penggemar sukan air dan memancing, Laut Sulu merupakan syurga yang menanti.

Kejernihan dan suhu air laut yang ideal sekali lagi membantu kelangsungan senario ini sehingga sekitar kepulauan sulu sejak sekian lama terkenal dengan pengeluaran hasil rumpai laut terbaik, tiram, malah kerang gergasi melata yang membekalkan mutiara terbaik di dunia sejak berkurun menjadi perhiasan Maharaja mahupun Maharani Dinasti China bahkan tercatat kemahsyurannya seawal pemerintahan Firaun di zaman Nabi Sulaiman AS. Khazanah dan sumbar ekonomi yang tiada tara bandingnya mampu memberi pulangan lumayan seandainya penerokkan industri berasaskan makanan, kecantikan, perubatan dan kesihatan berjaya dimajukan.

Pengembelingan serentak ketiga-tiga sektor ekonominya mampu menyumbang pendapatan negara yang boleh digunakan pemerintah untuk menyediakan prasarana utama seperti kemudahan jalanraya, bekalan air bersih, perhubungan telekomonikasi, pelabuhan dan sebagainya.

Tidak dilupakan juga, warga sulu sendiri yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang antaranya kemahiran berniaga, pertukangan kayu serta besi malah banyak kemahiran moden dari kalangan professionalnya yang boleh diketengahkan sebagai modal insan mengimbangi pembangunan mikro dan makro ekonomi negara.

Semua diatas, merupakan khazanah dan aset pemangkin ekonomi yang sangat besar nilainya dalam penghasilan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Sulu andai mampu diekploitasi sebijak dan sebaik mungkin yang pastinya bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara seiring negara maju. Berbekalkan keamanan dan ekonomi, kegemilangan Empayar Kesultanan Sulu pasti kembali bersinar.

Oleh : Mohd Hassan Asan @ aku_tausug
Ketua Pengarah, Mantirian Dagang & Barter
Malaysia Affairs, Kuala Lumpur.
29 September 2010

0 ulasan: