Tausugfm

Masi dalam pembikinan

Khazanah Pemangkin Ekonomi Sulu

Rabu, 29 September 2010

Oleh : Mohd Hassan Asan @ aku_tausug

Berbicara soal ekonomi, kita lupakan seketika cerita lain, terutama ketidakamanan yang masih belum tertunai. Mendedahkan potensi ekonomi negara Sulu tersangat la besar konteks perbincangannya. Hanya kali ini, ruang lingkup wacana ditumpukan kepada khazanah yang terdapat di negara Sulu itu sendiri secara asasnya. Pandangan awal jelas kelihatan, Sulu sememangnya mampu memulakan penggiatan ekonominya dalam ketiga-tiga sektor secara serentak dan seiring dalam masa yang sama.

Sulu pasti segera berkembang maju melihat kepada kedudukan geografinya sendiri yakni terdiri dari gugusan kepulauan yang subur dek mendapan lahar gunung berapi jutaan tahun dahulu. Keadaan ini membentuk muka bumi yang bergunung-ganang pada pandangan sebelah atas daratan yang terbentang subur dan menghijau. Penumpuan kepada pembangunan sektor pertama yakni pertanian, hasil laut, penternakan, pengurusan hutan dan sumber tadahan air serta bahan galian mampu menyumbang pendapatan utama negara yang tidak terhitung jumlahnya. Antaranya, pengindustrian hasil Kenaf, penilai tambahan hasil kopi dan kelapa, rumpai laut, penternakan ikan dalam sangkar atau kolam, pembalakan terancang dan terpilih, perlombongan emas serta cari gali petroleum dan gas asli malah banyak lagi sumber buminya yang menanti dimajukan.

Laut Sulu yang membiru, pasir yang memutih ditambah dengan keadaan pesisir pantainya yang landai serta cetek menunjang ke lautan dalam membuat batu karang dan rumpai laut tumbuh subur, menjadi habitat ratusan spesis ikan dan muloska mempopulasi di dasarnya. Menghasilkan lubuk terbaik bagi hidupan marin yang berhijrah untuk singgah memburu makanan serta membiak. Semua ini mampu menjadi bekalan protein segar berterusan yang menjana ekonomi isi rumah nelayan pantai atau laut dalam seterusnya menyumbang besar kepada pertumbuhan pendapatan perkapita negara. Di sini la sektor kedua di bangunkan yakni Pembuatan dan Perkilangan. Hasil-hasil laut boleh di nilai tambahkan menjadi barangan separa siap atau siap untuk kegunaan domestik mahupun pasaran eksport. Antaranya, pengwujudan kilang pemprosesan hasil ikan, sotong, rumpai laut atau seumpamanya.

Seterusnya, sektor ketiga yakni perkhidmatan. Pelbagai bentuk eko-pelancongan yang terkawal dan terancang sangat la berpotensi. Menyelam ke dasar lautnya pasti terpukau melihat syurga terumbu karang dan spesis ikan menyambut kehadiran para penyelam keindahan. Para Pencinta kedamaian pula, pastinya tidak mahu ketinggalan menyaksikan sendiri betapa indahnya sang mentari terbit di ufuk timur seawal pagi. Lantaran Sulu merupakan antara negara terawal matahari terbit setelah melalui putaran mengelilingi bumi yang seolah-olah muncul dari dasar laut Lautan Pasifik. Semuanya melahirkan panorama indah yang tidak boleh dinafikan mengamit pelancong tempatan mahupun luar negara untuk membuat kunjungan semula. Kepada penggemar sukan air dan memancing, Laut Sulu merupakan syurga yang menanti.

Kejernihan dan suhu air laut yang ideal sekali lagi membantu kelangsungan senario ini sehingga sekitar kepulauan sulu sejak sekian lama terkenal dengan pengeluaran hasil rumpai laut terbaik, tiram, malah kerang gergasi melata yang membekalkan mutiara terbaik di dunia sejak berkurun menjadi perhiasan Maharaja mahupun Maharani Dinasti China bahkan tercatat kemahsyurannya seawal pemerintahan Firaun di zaman Nabi Sulaiman AS. Khazanah dan sumbar ekonomi yang tiada tara bandingnya mampu memberi pulangan lumayan seandainya penerokkan industri berasaskan makanan, kecantikan, perubatan dan kesihatan berjaya dimajukan.

Pengembelingan serentak ketiga-tiga sektor ekonominya mampu menyumbang pendapatan negara yang boleh digunakan pemerintah untuk menyediakan prasarana utama seperti kemudahan jalanraya, bekalan air bersih, perhubungan telekomonikasi, pelabuhan dan sebagainya.

Tidak dilupakan juga, warga sulu sendiri yang memiliki kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai bidang antaranya kemahiran berniaga, pertukangan kayu serta besi malah banyak kemahiran moden dari kalangan professionalnya yang boleh diketengahkan sebagai modal insan mengimbangi pembangunan mikro dan makro ekonomi negara.

Semua diatas, merupakan khazanah dan aset pemangkin ekonomi yang sangat besar nilainya dalam penghasilan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Sulu andai mampu diekploitasi sebijak dan sebaik mungkin yang pastinya bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara seiring negara maju. Berbekalkan keamanan dan ekonomi, kegemilangan Empayar Kesultanan Sulu pasti kembali bersinar.

Oleh : Mohd Hassan Asan @ aku_tausug
Ketua Pengarah, Mantirian Dagang & Barter
Malaysia Affairs, Kuala Lumpur.
29 September 2010

Memulakan Ekonomi Sulu Sebelum & Selepas Kemerdekaan

Ahad, 26 September 2010

Oleh: Abu Ato'illah Al-Basilani

Tinggal beberapa minggu lagi yang akan datang bakal berlangsungnya Hari Deklarasi MENGEMBALIKAN Kemerdekaan Negara Sulu Darul Islam ke asalnya. Satu penantian yang penuh liku, onak dan duri disepanjang perjalanan yang begitu jauh hingga akhirnya terealisasi setelah para pembawa OBOR dapat menyusun sejarah dan jati diri bangsa yang telah tertimbus selama ini. Setelah mayat-mayat para mujahid Sulu yang sudah lama mereput itu, dan setelah pejuang-pejuang kebenaran bertungkus lumus itu berpecah belah, melemah dan kehilangan harap, akhirnya, negara Sulu kini akan Merdeka tanpa perang dan sengketa, tanpa sabotaj dan tipu daya.

Percubaan demi percubaan para pembawa OBOR melakukannya samada perang senjata, memasuki dunia politik dan sebagainya, manakala yang lain sibuk menulis, mengkaji dan menganalisis sehingga membawa kepada terbentuknya satu gerakan yang dinamakan United Tausug Citizens (UTC). Satu gerakan rakyat golongan marhain, golongan miskin dan papa kedana yang sudah bosan hidup dalam dunia bernama DEMOKRASI yang penuh manipulasi, dusta dan penipuan ini. Memunculkan satu harapan dalam satu keyakinan yang putus (Qat'i), Tiada kekuatan melainkan kekuatan Allah Azza Wajallah untuk mengubah keadaan ini, sungguh kekuatan ummah yang bersatu dalam berserah diri pada-Nya akan menghasilkan kekuatan yang disertai oleh kekuatan Allah Al-Qawi yang maha dahsyat. Sungguh terang lagi bersuluh jalan kemenangan ini, sebab itu ummah memang diberikan-Nya kemerdekaan sejak azali maka kemerdekaan di dunia tidak perlu diminta kepada manusia.


AKTIVITI PASAR SEBAGAI PERMULAAN

Tinggal lagi, untuk menjadi manusia berperadaban memerlukan sistem untuk mengatur kemerdekaan yang diberikan-Nya ini. Apakah mekanisma untuk menongkat kemerdekaan setelah selesai deklarasi? Berbalik kepada sejarah permulaan umat Islam Sulu sebelum kelahiran Junjungan besar kita Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam, iaitu perdagangan dan pertukaran barang yang dikenali sebagai barter menjadi kompas kearah negara merdeka. Untuk membentuk toifah atau kekuasaan bernegara perkara yang wajib dibangunkan terlebih dahulu ialah "Pasar" sebagai penghubung. Di pasar segalanya bermula, dipasar juga segalanya akan berakhir.

Muamalat bermula di pasar secara jual beli yang sudah tentu pelbagai bahan dan barang jualan diperdagangkan. Tujuan manusia ke pasar hanyalah dua, pertama membeli, kedua adalah menjual. Sekiranya ada perkara lain selain dari keduanya maka ia terhasil asbab dari dua perkara itu tadi. Sebagai penjual, memerlukan bahan mentah atau siap untuk dijual. Penjual sayuran memerlukan bekalan sayur, penjual bijirin memerlukan bekalan bijirin, penjual ikan memerlukan bekalan ikan dan begitulah seterusnya. Apabila penjual memerlukan bekalan kerana permintaan dari pembeli yang berterusan maka inilah fungsi pasar yang menjadi permulaan kepada berkembangnya satu bandar seterusnya menjadi negara. Penuh kesibukan jual beli dan hiruk pikuk manusia.


BEKALAN KE PASAR

Segala bekalan yang diperlukan oleh penjual memerlukan pengeluar. Dalam konteks Sulu, pengeluar ialah para nelayan dan para penanam sayur-sayuran, penanam kelapa, ubi dan sebagainya serta bahan-bahan makanan lain. Untuk menjadikan pasar berfungsi ialah dengan tidak menjadikan ia kehabisan bekalan. Maka sebab itu petani dan nelayan berusaha memperbanyakkan tangkapan dan penghasilan mereka. Dengan itu segala keperluan lain akan datang menyusul untuk diperjual belikan oleh masyarakat. Maka pasar akan memunculkan satu masyarakat peniaga yang akan berkembang kearah eksport dan import pula. Disinilah bermulanya hubungan dagang dengan luar daerah atau negara. Maka bermulalah perdagangan yang bukan lagi kuantiti dan beratnya berdasarkan kilogram tetapi sampai berpuluh malah ribuan tan.


MENTADBIR PASAR & MASJID

Mentadbir pasar dalam konteks Sulu ialah dibawah seliaan dan pentadbiran para Datu yang diamanahkan oleh Kerajaan Sulu. Kerajaan Sulu diketuai oleh seorang Raja atau Sultan yang berkuasa keatas wilayah, tanah, lautan dan pelabuhan. Pasar mestilah berkonsepkan PARIAN atau pasar terbuka. Maka sebab itu pasar Parian berdiri di tanah WAKAF, yakni segala penjual bebas mendudukinya tanpa had tertentu selama mana ia berada di situ. Konsep Parian ialah sekali seminggu atau lebih dalam satu daerah bergantung kepada pemerintah. Ia sama dengan konsep pasar malam di Semenanjung Malaysia dan pasar tamu di Negeri Sabah yang masih diamalkan hingga hari ini.

Pasar wajib didirikan surau atau Masjid di sisinya sebagai tempat ibadat sekiranya sampai waktunya. Ketika azan dilaungkan jual beli mesti dihentikan dan kesemua penjual atau pembeli wajib menunaikan solat pada waktunya terlebih dahulu agar dengan demikikan negara senantiasa mendapat cas tenaga atau aura keberkatan dari Allah swt. Dalam konteks permulaan negara Islam di Madinah Al-Munawwarah, Rasulullah SAW mula-mula sekali tindakan Baginda ialah mendirikan masjid. Ini kerana keperluan ketika itu umat Islam memerlukan satu tempat sebagai tempat bertemu mengatur strategi menyampaikan dakwah dan beribadat secara berjamaah. Hikmah solat berjamaah ialah mengukuhkan kesatuan dan semangat persaudaraan seagama maka dengan itu ummah akan senantiasa kuat dan teguh.

Setelah membangun masjid, Rasulullah SAW kemudiannya mengatur ekonomi ummah dengan mula mendidik para sahabat jual beli cara Islam. Pasar Madinah ketika itu yang banyak dikuasai oleh Yahudi pada akhirnya berdikit-dikit dapat diambil alih oleh umat Islam sehingga lengkaplah Madinah menjadi milik umat Islam. Dengan adanya pasar maka jual beli, eksport dan import dapat dikuasai oleh rakyat yang keuntungannya akan dapat disalurkan kepada pemerintah. Dengan adanya pasar maka pengawal keselamatan boleh mula berfungsi dengan mengawal persekitaran agar muamalat tidak terganggu. Dengan adanya kawalan keselamatan di pasar maka "kerajaan" akan dapat dilihat oleh rakyat berfungsi mentadbir negara.


PROGRAM EKONOMI SULU

Untuk merialisasikan konsep Pasar dan Masjid keatas bumi Sulu maka sebelum deklarasi nanti UTC sepatutnya sudah membuat program penyusunan para petani dan nelayan sebagai pembekal untuk membentuk pasar di Buansa, Patikul, Basilan dan Bongao, Tawi-Tawi. Jumlah UTC yang melebihi 20,000 keahlian di sekitar Jolo sahaja sudah lebih dari mencukupi untuk memulakan muamalat di pasar. Manakala lebih 20,000 UTC di Bongao dan Malaysia pula hanya bertindak sebagai pembekal kepada keperluan harian lain kerana "barang halal" di Malaysia lebih terjamin berbanding barangan dari Filipina. Sulu bebas memilih dari mana dia mengimport barangan keperluan dan bebas buat sementara menggunakan matawang samada Ringgit atau Peso tetapi sekiranya berkemampuan menggunakan Dinar dan Dirham adalah lebih baik, mulia dan terhormat lebih menepati kehendak syara'.